Looking For Anything Specific?

Header Ads

10 Cara Susun Atur Barang Makanan Dan Masakan Di Dapur

10 Cara Susun Atur Barang Makanan Dan Masakan Di Dapur | Sebagai seorang suri rumah, saya rasakan dapur adalah ruang kerja saya yang paling utama.

Oleh itu, saya sangat menitik beratkan kebersihan serta kekemasan dapur. Penting untuk kita susun atur bahan-bahan masakan serta makanan kering di dapur untuk menyenangkan pekerjaan kita.

Cara susun atur dapur

10 Cara Susun Atur Barang Makanan Dan Masakan Di Dapur 

Cara penstoran rempah ratus, bahan-bahan masakan dan makanan perlu praktikal dan efisyen. Penjagaan dan penggunaan bahan-bahan makanan atau masakan lebih mudah jika disimpan dalam bekas yang: 

1. Guna Bekas Yang Sama Bentuk

Menggunakan bekas yang sama bentuk serta saiz sangat bagus. Ia nampak lebih tersusun. Malah, bila sama bentuk dan saiz, kita boleh susun secara bertingkat dan masih nampak kemas.

Bekas penstoran yang sama bentuk dan saiz adalah sangat penting untuk nampak dapur yang lebih tersusun dan kemas. Bila nampak kemas, kita pun rasa seronok nak memasak.

Eco Shop
Ikea
Airtight Container
Idea bekas sama bentuk. Klik pada gambar.


2. Guna Bekas Lutsinar

Warna bekas yang lutsinar memudahkan untuk kita kenalpasti barang yang ada di dalamnya. Kita boleh cari barang yang kita nak guna dengan lebih mudah dan cepat.

Lagipun kita boleh nampak kuantiti dalam bekas tanpa perlu buka bekas tersebut. Kalau barang makanan tersebut dah nak habis, kita boleh cepat-cepat beli stok baru atau refill sahaja.


Cara susun atur dapur

3. Guna Bekas Berbentuk Segi Empat

Penggunaan bekas yang berbentuk segi empat sama atau segi empat tepat lebih menjimatkan ruang. Bentuk ini memenuhi keseluruhan kabinet dapur dan tidak membazir ruang.

Jika anda menggunakan bekas yang berbentuk bulat, memang nampak cantik dari segi estetiknya. Tapi ianya tidak memenuhi ruang yang ada. 


4. Guna Bekas Kaca Kedap Udara

Penggunaan bekas kaca dikatakan lebih bagus daripada bekas plastik. Untuk memastikan bahan-bahan dapur lebih tahan lama, pastikan bekas  kaca yang digunakan kedap udara.

Tip lain yang boleh digunakan untuk mengelakkan bahan rempah ratus cepat rosak adalah dengan melekatkan satu pek silica gel di bahagian dalam penutup bekas.

BECCOS Borosilicate Glass Container
Nordic kitchen Acacia glass
KORKEN
Idea bekas kaca. Klik pada gambar.


Cara susun atur barang di dapur

5. Guna Botol Dispenser Untuk Bahan Cecair

Selain daripada nampak lebih menarik dan seragam, penggunaan botol sebegini untuk bahan cecair sebenarnya memudahkan kita memasak. Antara bahan yang boleh diletakkan di dalam botol seperti ini adalah: 
  • Sos cili
  • Sos tomato
  • Sos tiram
  • Sos ikan 
  • Mayonis
  • Kicap manis
  • Kicap masin
  • Kicap cair

Kita boleh mengeluarkan bahan cecair dengan kuantiti yang lebih tepat untuk masakan jika menggunakan botol seperti ini. Tak adalah kejadian terlalu masin atau terlalu pekat bila menggunakan botol seperti ini.

Squeeze Bottle Condiment Diffuser Dispenser
Leakproof Cooking Glass Oil Vinegar Dispenser
450ml Silicone Squeeze Bottle
Idea botol dispenser untuk sos dan minyak. Klik pada gambar.


Cara susun atur barang di dapur

6. Letak Label Pada Bekas

Untuk lebih memudahkan kita mencari dan tidak tersilap ambil barang, sebaiknya kita perlu label bekas barang-barang masakan atau makanan kita.

Bayangkan kalau kita simpan semua jenis tepung dalam bekas yang sama. Apabila nak cari tepung gandum, kita tak tahu mana satu bekasnya sebab rupa tepung hampir kesemuanya lebih kurang sama. 

Jar Blackboard Stickers
Hot Sales Kitchen Sticker
Sticker Dapur
Idea sticker untuk label. Klik pada gambar.


7. Letak Bahan Makanan Mengikut Kategori

Susun bekas-bekas makanan mengikut kategori. Contohnya untuk bahan-bahan rempah ratus, susun di dalam satu ruang dalam kabinet atau satu bakul. Untuk makanan dalam tin, susun di dalam bekas yang sesuai.

Dengan cara ini, kita tidak tercari-cari bahan yang kita perlu gunakan merata-rata. Kita dah tahu bahan mana di bahagian mana. Jimat masa dan tenaga untuk mencari.


8. Amalkan FIFO (First In First Out)

Ada stok barang makanan dan masakan di rumah memang menyenangkan. Tapi kalau barang terlalu banyak, risau ada yang tidak sempat digunakan dan rosak sebab dah sampai tarikh luput. 

Jika anda suka membeli barang secara bundle, susun barang mengikut sistem FIFO (First In First Out). Susun stok barang yang lama di hadapan dan stok barang yang baru dibeli di belakang.

Kenapa? Biasanya kalau kita nak cepat, kita akan ambil barang yang paling senang dicapai iaitu di bahagian depan. Jadi cara susunan begini akan memastikan kita selalu ambil stok barang yang lama dahulu.

Satu lagi tip penting yang kita perlu buat. Sentiasa simpan tarikh luput setiap bahan yang telah dimasukkan ke dalam bekas. 

Cara yang paling mudah adalah dengan menggunting label tarikh luput pada pembungkusan asal bahan masakan atau makanan tersebut. 

Kemudian tampalkan pada bekas. Kalau tak nak nampak sangat label tarikh luput itu, boleh tampal pada bawah tapak bekas.



Cara susun atur barang di dapur

9. Guna Rak Besi Untuk Menyimpan

Jika anda ada kabinet dapur yang banyak, anda boleh simpan stok barang makanan dan masakan di dalam kabinet. Tapi anda juga boleh susun atur dapur tanpa kabinet menggunakan rak besi.

Rak besi jenis ini ada banyak saiz. Anda boleh pilih saiz yang sesuai dengan kebesaran dapur anda. Jika dapur besar, dapatkan rak besi yang besar. Kalau dapur kecil, boleh pilih rak yang lebih kecil.

Ketinggian rak ini juga boleh dilaras. Ianya boleh dimuatkan di kawasan yang sempit. Dan yang penting, ianya jauh lebih murah daripada kabinet dapur biasa.
 

10. Elakkan Simpan Barang Makanan Dan Masakan Di Tempat Mudah Panas, Bercahaya Dan Lembap

Ada rumah yang di bahagian atas dapur memasaknya ada kabinet untuk menyimpan barang. Jika rumah anda juga begitu, pastikan bukan bahan makanan yang disimpan di ruang kabinet di atas dapur memasak.

Kawasan tersebut mudah panas akibat daripada wap dapur memasak. Bahan makanan mudah rosak jika berada di keadaan panas dan lembap. Lebih merbahaya jika barang dalam tin yang tersimpan di situ.

Bahan masakan dan makanan kering juga perlu disimpan jauh daripada cahaya matahari terus. Terdapat beberapa rempah dan makanan kering yang agak sensitif terhadap cahaya yang terang.

Semasa nak ambil bahan-bahan rempah ratus, gunakan sudu kering untuk mengelakkan pencemaran atau menyebabkan ia rosak. Elakkan menggunakan sudu basah, sudu yang digunakan untuk ceduk bahan lain ataupun menggunakan tangan.

Dapur Ruangan Yang Penting Dalam Keluarga

Dapur adalah tempat yang paling penting. Bukan sahaja untuk suri rumah. Tetapi juga ruangan yang paling penting dalam sebuah keluarga.  

Oleh itu, penting bagi kita tahu bagaimana cara susun atur barang makanan dan masakan di dapur untuk menjadikan dapur sebagai ruangan yang memudahkan kerja serta pergerakan.

Post a Comment

0 Comments