Looking For Anything Specific?

Header Ads

7 Tahun Menjadi Suri Rumah

7 Tahun Menjadi Suri Rumah | Jika dikira, saya sudah pun menjadi seorang suri rumah tangga selama 7 tahun. 7 tahun itu sebenarnya orang kata masih hijau dan masih muda.

Tapi dalam 7 tahun itulah, banyak pahit manis yang saya lalui menjadi seorang suri rumah. Banyak perkara yang saya belajar walaupun sekadar duduk di rumah sahaja.

Suri rumah berjaya


Maksud Suri Rumah

Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, suri rumah tangga bermaksud isteri. 

Kalau perkataan suri sahaja pula bermaksud raja perempuan, permaisuri atau ibu (bonda) kepada raja.

Rasa macam seronok pula apabila melihat maksud perkataan suri. Bahasa Melayu mengangkat golongan suri rumah dengan nama dan maksud yang sangat tinggi darjatnya. 

Berlainan pula dengan bahasa Inggeris. Suri rumah dalam English dipanggil housewife. Nampak panggilan housewife itu macam biasa sahaja. Tak begitu istimewa.

Walau apa pun gelaran yang diberikan kepada kita, suri rumah adalah satu tanggungjawab dan kerja yang mulia di sisi Allah SWT. 

Jadi Suri Rumah Ini Memenatkan!

Memang tidak dinafikan, menjadi suri rumah ini sangat penat. Rasa seperti tiada masa untuk berehat langsung. Lebih-lebih lagi apabila sudah ada anak.

Hidup Berdua

Semasa hidup berdua dengan suami, saya rasa hidup lebih teratur. Saya cuma perlu masakkan makanan, bersihkan rumah, sediakan keperluan suami dan menjadi penghibur suami.

Pada waktu itu juga saya mula mencari dan melakukan kerja-kerja yang boleh dilakukan dari rumah semasa suami keluar bekerja. Memang cukup masa untuk buat macam-macam perkara.

Kehadiran Anak

Kemudian, kami mendapat anak pertama. Ya Allah, rasa hidup ini tunggang langgang. Saya langsung tidak menjangka kehidupan akan berpusing 360 dengan kehadiran anak kami.

Suri rumah berjaya

Belum sempat nak berehat, 3 tahun kemudian, kami dikurniakan dengan anak kedua. Ya Rabbi. Dua orang anak lebih teruk penangannya daripada seorang anak. 😅😅

Sampai saya kata, cukuplah dua orang sahaja. Anak lelaki pula tu. Macam-macam peel yang perlu dihadapi. Itu belum lagi masuk bab anak asyik lapar dan kena masak selalu. 😆😆

Mengemas rumah? Tak pernah nak siap. Kemas di dalam dapur, ruang tamu yang berterabur. Kemas ruang tamu pula, bilik bersepah dengan mainan. 

Ya Tuhan. Saya hanya mampu berhuhu di dalam hati sementara anak-anak masih kecil dan suka bermain. Nanti dah besar, environment macam ini dah tidak ada. Mesti kita akan rindu semua momen ini.

Penat itu tetap ada. Kerja seperti tidak ada kesudahan. Emosi juga kadang-kala ke laut. Tak boleh dikira dengan jari dah berapa kali saya bertukar menjadi raksasa hijau bersuara garau.

Tapi itulah benda yang paling kita akan hargai. Kita dapat menjaga  sendiri anak-anak kita. Kita tak terlepas momen-momen penting anak-anak.  

Kita boleh tengok sendiri perkembangan anak dari mengengsot, merangkak, bertatih, berjalan dan berlari. Kita boleh dengar perkataan pertama yang disebut anak. 

Kita jadi orang yang pertama anak nampak bila dia buka mata bangun tidur. Kita jadi orang terakhir anak nampak bila dia tutup mata untuk tidur. Semua itu cukup membahagiakan.
Suri rumah berjaya

Kerja Suri Rumah Tiada Cuti

Apabila seseorang itu mengambil keputusan untuk menjadi seorang suri rumah, dia akan menggalas tanggungjawab yang amat berat. Menjadi suri rumah tidak bermakna kita boleh bersenang lenang di rumah. 

Menjadi suri rumah perlu bekerja setiap hari tanpa cuti. Setiap waktu ada sahaja perkara yang perlu dibuat. Kitalah tukang masak, tukang cuci, doktor, arkitek, guru, motivator dan macam-macam lagi.

Syukurlah jika kita dikurniakan suami yang memahami dan yang boleh membantu meringankan bebanan kita. 

Saya cukup bersyukur Allah SWT jodohkan saya dengan suami. 

Dialah semangat saya untuk terus berbakti kepada keluarga. Dia banyak membantu saya. Dia juga tak pernah pertikaikan kenapa saya menjadi suri rumah.

Kebanyakan yang mempertikaikan keputusan saya untuk menjadi suri rumah adalah orang luar. Mungkin niat mereka hanya untuk bertanya tapi kadang-kala cara mereka bertanya agak menusuk jiwa.

Suri rumah berjaya

Salah Ke Jadi Suri Rumah?

Ada antara kita yang bergelar suri rumah selalu mendapat pertanyaan yang agak mengguris hati. Belajar tinggi-tinggi, kenapa jadi suri rumah sahaja?

Saya sendiri pernah mendapat pertanyaan seperti itu di awal perkahwinan. Rasa sedih ada. Rasa macam menyusahkan suami pun ada. Rasa sangat down pun ada. 

Lepas itu saya fikir, kalau dilayan perasaan itu, sampai bila pun saya akan menyusahkan orang di sekeliling saya. Jadi saya nekad untuk buktikan saya juga boleh jadi suri rumah berjaya.

Bukan untuk buktikan kepada orang lain. Tapi nak buktikan kepada diri sendiri. Dengan menjadi seorang suri rumah sepenuh masa pun, saya boleh menjaga keluarga dan memiliki kerjaya yang menguntungkan.

Blog Suri Rumah Berjaya

Disebabkan itu jugalah saya buat blog Suri Rumah - Keluarga Dan Kerjaya ini untuk berkongsi dengan suri rumah-suri rumah di luar sana yang memerlukan.

Saya nak tunjukkan kepada suri rumah sepenuh masa di luar sana yang kita juga mampu untuk berjaya dalam hidup walaupun hanya bergelar suri rumah.

Jangan sesekali memandang rendah terhadap diri sendiri. Kalau nak tahu, kita mempunyai banyak kelebihan sebagai seorang suri rumah sepenuh masa.

Kita boleh melihat anak-anak membesar di depan mata. Kita boleh menjana pendapatan yang lumayan. Dan yang paling penting, kita buat semua ini hanya dari rumah.

Suri rumah berjaya

Suri Rumah Perlu Jana Pendapatan Sendiri

Dulu saya fikir suri rumah hanya duduk di rumah, menjaga makan minum keluarga, menjaga anak-anak dan mengemas rumah. Rupanya saya silap. 

Kita sebagai suri rumah boleh lakukan apa sahaja yang kita mahukan. Berniaga. Menyediakan pelbagai servis. Menjual produk. Asalkan jangan dilupakan tanggungjawab utama kepada keluarga.

Kita menjana pendapatan bukan untuk sesiapa tapi untuk diri sendiri. Kita perlu keluar dari zon selesa. Tunjukkan pada diri sendiri yang kita mampu menjaga keluarga dengan baik di samping membina kerjaya yang berjaya.

InsyaAllah di artikel yang lain, saya akan kongsikan antara kerjaya yang kita sebagai suri rumah boleh lakukan untuk menjana pendapatan dari rumah sahaja. Stay tuned ya.

Post a Comment

0 Comments