Looking For Anything Specific?

Header Ads

Jadual Rutin Harian Suri Rumah Ada Anak Kecil

Jadual Rutin Harian Suri Rumah Ada Anak Kecil | Rutin harian saya sebagai seorang suri rumah berbeza dari hari pertama berkahwin sehinggalah ada anak kecil dua orang sekarang.

Kalau dulu semasa masih hidup berdua, jadual saya lebih fleksibel. Saya boleh buat apa sahaja pada bila-bila masa. Tapi bila dah ada anak-anak, saya rasa perlu ada jadual rutin harian supaya boleh urus masa dengan lebih bagus.

Rutin harian suri rumah

Jadual Rutin Harian Suri Rumah Ada Anak Kecil

Dalam artikel kali ini saya nak berkongsi jadual rutin harian saya sebagai suri rumah yang ada anak kecil. Jadual ini lebih kurang guideline sahaja.

Ada masanya aktiviti yang saya lakukan berbeza. Tapi setiap hari, lebijhkurang beginilah rutin harian saya secara kasarnya.

6.00 pagi

Saya akan bangun pagi dalam pukul 6.00 pagi. Waktu itu, suami dah bangun sebab dia perlu bersiap-siap untuk bergerak ke tempat kerja. Pukul 7.00 pagi dia sudah perlu berada di pejabat.

Waktu ini saya akan bangun untuk mandi dan bersolat Subuh. Saya tak siapkan breakfast suami. Dia akan makan di tempat kerja. Saya pun tak larat nak bangun awal sebab anak masih menyusu.

Anak-anak akan bangun lebih kurang waktu ini juga. Dah terbiasa bangun pagi. Lagipun waktu malam, mereka memang tidur awal. Bila dah bangun, saya terus mandikan mereka.

7.00 pagi

Dalam pukul 7.00 pagi, saya mula masak sarapan untuk anak-anak. Sambil-sambil saya masak breakfast, anak-anak akan bermain sesama mereka.

Kadang-kadang mereka akan masuk ke dapur untuk melihat dan menolong saya memasak. Saya cuma benarkan mereka menolong benda-benda yang senang saja.

Tapi kalau mereka dah merengek lapar sangat, saya beri mereka makan 'pre-breakfast'. Kebiasaannya 'pre-breakfast', saya berikan mereka buah-buahan seperti epal, oren dan tembikai. 

Bila dah siap masak breakfast, kami akan makan bersama-sama. Waktu ini memang kecoh. Ada saja semua orang nak bercakap. Lepas siap makan, saya akan kemaskan dapur. 

Anak-anak pun ada tugas masing-masing. Bila dah siap makan, mereka akan bawa pinggan dan cawan mereka sendiri ke sinki. Makanan yang tertumpah pula, mereka akan kutip dan buang dalam tong sampah.

8.00 pagi

Lepas makan, anak-anak akan sambung main semula. Saya pula akan mula mengemas rumah. Jadual harian mengemas rumah agak mudah. Saya tidaklah buat semua kerja rumah dalam satu hari. 

Cara saya mengurus rumah mungkin agak berbeza dari anda. Saya bahagikan kerja-kerja rumah mengikut hari. Kdang-kadang anak-anak pun rajin nak ikut saya mengemas. 

 Isnin        
 Kemas bilik tidur    
 Selasa Kemas ruang tamu    
 Rabu Kemas dapur
 Khamis Cuci fabrik besar seperti cadar dan tuala    
 Jumaat Cuci tandas    

Kerja-kerja yang saya akan buat setiap hari adalah:
  • Kemas katil selepas bangun tidur
  • Vakum lantai
  • Mop lantai
  • Cuci pakaian
  • Lipat pakaian
  • Kemas meja makan 
  • Kemas sinki dapur
  • Buang sampah (suami yang buangkan)

Hari Sabtu dan Ahad saya tak buat kerja rumah. Hari hujung minggu lebih kepada nak bersantai dengan keluarga dan keluar berjalan-jalan. 

9.00 pagi

Dalam pukul 9.00 pagi, anak-anak pun dah penat main. Kebiasaanya, anak bongsu nak menyusu. Jadi, dia akan berhenti menyusu dan mengempeng dengan saya untuk seketika. 

Untuk anak sulung pula, saya sediakan aktiviti belajar yang dia boleh lakukan. Saya tidaklah begitu tegas dalam pembelajarannya sebab bagi saya, dia masih proses suka bermain. 

Jadi, saya masukkan unsur-unsur bermain semasa belajar. Saya lebih fokuskan kepada subjek-subjek berikut dalam pembelajarannya.

  • Matematik (Tambah, tolak, kecil, besar)
  • Phonics (Inggeris, Bahasa Melayu)
  • Bahasa (Inggeris, Mandarin)
  • Sains
  • Seni (Melukis, mewarna)

10.00 pagi

Pukul 10.00 pagi, anak-anak dah cop nak tengok kartun di televisyen. Saya seorang yang agak tegas tentang screen time anak. 

Saya hanya beri kebenaran untuk menonton televisyen sejam sahaja sehari untuk hari minggu. Selepas itu, tiada screen time hingga ke esok paginya. 

Anak-anak pun boleh terima keadaan ini. Apabila kartun dah habis, mereka sendiri akan tutup tv tanpa perlu saya minta mereka buat begitu. 

Pada waktu ini, saya akan ada sedikit masa untuk semak email, mesej yang masuk di FB Messenger, LinkedIn Messenging, Whatsapp ataupun Telegram untuk lihat jika ada job yang masuk. 

Saya juga akan memuatnaik status di media sosial dan berbalas-balas komen dengan kawan-kawan di media sosial. Jangan pelik ya sebab kerjaya saya memerlukan saya buat begini.

11.00 pagi

Dalam pukul 11.00 pagi, saya akan mula masak untuk makan tengah hari. Lauk mentah saya dah turunkan dari bahagian sejuk beku ke bahagian bawah peti ais malam sebelumnya lagi. 

Mudah nak defrost. Dan dalam masa yang sama, kualiti lauk mentah tersebut masih bagus dan selamat. 

Saya selalunya dah siap buat jadual menu nak masak apa setiap hari. Jadi saya tak pening fikir nak masak apa untuk breakfast, lunch dan dinner. Tak adalah asyik keluar soalan "Nak masak apa ya hari ni?"

12.00 tengah hari

Bila dah siap masak, kami terus makan. Macam biasa, lepas makan, anak-anak pun tolong saya kemas apa yang patut. Bawa pinggan dan cawan ke sinki. 

Waktu-waktu begini, kami lebih banyak bersantai dan berehat. Dah penat buat kerja dan bermain satu pagi kan.

1.00 petang

Sambil-sambil nak tunggu masuk waktu solat Zohor, saya akan baring-baring sekejap dengan anak-anak. 

Kadang-kadang terlelap juga tapi tak lama. Sebab anak-anak tengah bermain, memang tak lena tidur. Kejap-kejap main elok. Kejap-kejap menangis. Kejap-kejap datang duduk atas perut mak dia. 😅😅 

Bila dah masuk waktu Zohor, saya akan terus solat. Nikmat solat di awal waktu memang betul. Saya rasa banyak masa untuk buat kerja bila solat awal waktu.

Lepas solat, anak yang bongsu akan menyusu dan nap sekejap. Yang sulung, haih. Jarang sangat nak tidur. Lebih suka bermain. Walaupun mata dah kuyu, tetap nak main. 

2.00 petang

Pukul 2.00 petang saya selalunya akan buat aktiviti dengan anak-anak. Aktiviti yang saya buat biasanya ada kaitan dengan pembelajaran. Saya suka buat aktiviti homeschooling dengan anak-anak.

Masa ada seorang anak, nak buat aktiviti homeschooling lebih mudah. Tapi bila dah ada dua orang anak, memang agak mencabar. Lebih-lebih lagi bila ada anak kecil yang masih tak faham.

Tapi aktiviti-aktiviti macam ini tak lama pun. Dalam 10 minit setiap sesi. Kemudian rehat buat benda lain. Lepas itu, akan sambung semula. 

Budak-budak punya fokus tak lama. Jadi tak perlu nak paksa mereka. Yang penting mereka enjoy apa yang mereka sedang lakukan.

Rutin harian suri rumah

3.00 petang

Bila dah rasa penat buat aktiviti, biasanya waktu ini lebih rileks. Saya beri anak-anak peluang untuk dapatkan 'me-time' mereka sendiri. 

Waktu ini mereka akan bermain dengan building blocks atau apa-apa saja mainan yang mereka inginkan.

Saya juga akan mengambil kesempatan ini untuk tengok media sosial. Kalau ada komen, saya akan balas. Kalau ada status kawan-kawan yang menarik, saya akan tinggalkan jejak di bahagian komen.

4.00 petang

Petang begini biasanya saya akan masak menu-menu ringan untuk makan petang. Biasanya kuih-muih. Anak-anak pula memang jenis suka tengok dan tolong memasak. Saya pun jadi seronok nak masak.

Lepas habis masak, kami akan makan sama-sama sambil berborak. Anak-anak saya kalau diberi peluang untuk bercakap, memang non stop bercakap. Saya pun letih juga nak melayan kadang-kadang tu 😅😅

Kuih-muih yang dimasak, kami akan simpan sedikit untuk suami. Nanti bila suami balik dari kerja, bolehlah dia makan buat alas perut sementara nak tunggu makan malam.

Bila dah hampir pukul 5 petang, saya akan ajak anak-anak bersolat sekali. Walaupun mereka masih kecil, saya nak biasakan mereka bersolat dari awal supaya bila dah besar nanti tak susah untuk mereka buat.

5.00 petang

Dah petang-petang macam ini, biasanya saya akan bawa anak-anak pergi turun ke taman permainan kawasan rumah. Tapi disebabkan Covid19 sekarang ini, saya pun risau nak biarkan mereka bermain di luar.

Sekarang kami banyak bermain di dalam rumah. Suami pun dah habis kerja. Memang kami luangkan masa untuk bermain dengan anak-anak pada waktu ini.

6.00 petang

Dalam pukul 6.00 petang saya akan masuk dapur mula masak untuk makan malam.

Suami pula akan bawa anak-anak ke dalam bilik air. Mereka akan ambil masa dalam 15 hingga 30 minit untuk bermain air sambil diperhatikan oleh suami. 

Lepas puas main, suami akan mandikan anak-anak. Mudah kerja bila ada kerjasama antara suami isteri.

Bila saya dah siap masak, giliran saya pula untuk mandi.

7.00 malam

Bila dah siap masak dan mandi, kami akan solat bersama-sama. Kalau rajin sikit, adalah sesi baca Al-Quran. Hehehe.

Kemudian, kami akan makan malam. Saya suka makan awal-awal. Bila makan awal, senang nak bagi anak tidur awal dan kami suami isteri pun dapat rehat yang cukup.

Lepas makan, macam biasa saya kan kemas dapur. Cuci pinggan mangkuk, masukkan air dalam botol peti sejuk, masak air, ikat sampah Kebanyakan masa bab kemas-kemas dapur waktu malam, suami yang buatkan. 

8.00 malam

Dalam pukul 8.00 malam, dapur dah tutup. Dah siap kemas. Kalau masuk dapur pun, untuk minum air saja. Lepas makan dan kemas dapur, anak-anak akan minta untuk baca buku.

Kami akan baca buku sampai lebih kurang pukul 8.30 malam. Lepas itu, kami akan siap-siap berus gigi, cuci muka, solat dan baring atas katil untuk tidur. 

9.00 malam

Bila dah masuk pukul 9.00 malam, semua orang dah berbaring atas katil. Kadang kala anak-anak masih nak bermain dan bergurau. Saya dan suami buat-buat tidur supaya mereka pun tertidur sekali.

Biasanya dalam pukul 9.30 malam, dah senyap sunyi rumah ini. Waktu ini biasanya saya akan bangun semula untuk menyudahkan kerja-kerja lain pula.

10.00 malam

Dari pukul 10 malam hingga 12 pagi, saya peruntukkan untuk membuat kerja-kerja menulis. Masa ini adalah waktu terbaik untuk saya fokus membuat kerja-kerja ghostwriting dan blog.

Suami pula main game atau membaca untuk dapatkan 'me-time' nya. Ye lah kan, waktu siang dah penat bekerja. 

Saya akan berhenti buat kerja lebih kurang pukul 12 pagi. Tapi kadang-kadang, terlajak juga bila kusyuk buat kerja. Tak sedar dah pukul 1 2 pagi. 

Rutin harian suri rumah

Untuk hujung minggu, saya tak ada jadual yang khusus. Sebabnya waktu hujung minggu ini saya akan lebih luangkan masa dengan keluarga. 

Harap perkongsian saya kali ini dapat membantu anda semua sebagai tips suri rumah berjaya. Macam mana pula dengan rutin harian anda? Boleh share?

Post a Comment

0 Comments